KEMAHIRAN MENDENGAR

2.1.1 Pengenalan

Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkatpenerimaan (receptive level).

Seseorang pelajar yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan dapat memahami maksud serta boleh mentafsir apa sahaja yang didengar itu dengan tepat. Kemahiran ini juga dimulakan pada peringkat awal pengajaran bahasa yang bertujuan untuk memungkinkan pelajar fasih bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.
Menurut ILA (1996), kemahiran mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna dan tindak balas terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk mendengar sesuatu yang melibatkan proses minda atau pemikiran. Menurutnya lagi, terdapat dua cara komunikasi yang berkesan iaitu, bergantung kepada percakapan dan pendengaran.

Menurut Yahya Othman dalam buku ‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara intensif terutama semasa belajar di sekolah rendah dan menengah seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, dianggarkan lebih kurang 60 peratus daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan mendengar. Keupayaan mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya pelajar dapat menguasai semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.

Pada peringkat yang lebih tinggi, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekirannya pelajar tidak menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.

Pendengaran (listening) merupakan suatu kemahiran yang asas dan utama dalam proses komunikasi. Tetapi, aktiviti ini diabaikan dan tidak diberikan perhatian yang serius oleh kebanyakan orang.

Menurut seorang pakar komunikasi, Paul Rankin (1929), 70% daripada waktu tidak tidur kita dalam sehari digunakan untuk berkomunikasi dan 45% pula digunakan untuk mendengar sesuatu. Manakala 30% lagi digunakan untuk percakapan atau perbualan, sebanyak 16% daripada masa komunikasi anda digunakan untuk bacaan dan hanya 9 % masa anda dihabiskan untuk penulisan. Kajian yang telah dibuat oleh kebanyakan pakar menunjukkan bahawa kira-kira 85% daripada pengetahuan kita diperolehi melalui pendengaran.

Menurut Markgraf (1957) yang dipetik oleh Koh Boh Boon dalam bukunya iaitu ‘Perspektif-perspektif Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia’ menyatakan , kajian terhadap murid-murid sekolah tinggi pula menunjukkan bahawa pelajar ini telah menggunakan 46% daripada masa mereka di sekolah untuk mendengar sahaja dan 60% daripada aktiviti pendengaran itu adalah untuk mendengar percakapan guru. Seterusnya, terdapat beberapa kaji selidik yang dijalankan yang berkaitan tentang kepentingan kemahiran mendengar yang diajar di luar dan dalam bilik darjah.
Kesimpulannya, kemahiran mendengar ini merupakan sebahagian daripada proses komunikasi antara manusia. Mendengar adalah aktiviti aktif dari segi mental kerana kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang didengar.

2.1.2 Definisi Kemahiran Mendengar

Terdapat perbezaan antara “listening” dan “hearing”. Kedua-dua perkataan bahasa Inggeris tersebut mempunyai maksud yang sama dalam bahasa Melayu. Namun sebenarnya “hearing” adalah mendengar yang bersifat fizik, bermaksud ada suara yang didengari oleh telinga kita, namun tidak diperhalusi oleh fikiran kita, jadi apa-apa yang didengari oleh kita bersifat angin lalu, iaitu tidak berkesan. “Listening” pula melibatkan usaha-usaha aktif dari fikiran kita dan perhatian penuh atas apa yang kita dengar melalui telinga kita.

Dengan demikian mendengar yang efektif adalah seperti “listening” dalam Bahasa Inggeris yang merupakan sebuah proses serius yang tidak boleh dilakukan hanya dengan mengandalikan kebiasaan, refleks atau perasaan. Mendengar yang efektif adalah upaya untuk menghubungkan titik-titik yang kadangkala menyatakan nasihat yang tersembunyi yang perlu kita tahu.

Sayangnya kita kurang memberi perhatian tentang pentingnya mendengar secara efektif, sehingga seringkali menyebabkan kesilapan dalam komunikasi, salah menerima maklumat atau tindak balas dari pendengar yang tidak diharapkan.
Salah satu penelitian menunjukkan rata-rata orang menghabiskan satu pertiga daripada waktunya dalam organisasi untuk mendengar. Sehingga jika kita memiliki kecekapan mendengar yang baik, waktu yang kita habiskan untuk mendengar akan lebih bermakna.

Kemahiran mendengar adalah satu proses yang melibatkan dua peringkat kemahiran. Peringkat pertama ialah menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahsa yang hampir sama seperti “b” dan “p” yang mewakili “badang” dan “padang”., “d” dan “t” yang mewakili “datang” dan “tatang”.

Peringkat kedua pula ialah memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan ayat. Pemahaman tentang bunyi bahasa itu bergantung kepada pengetahuan, pengalaman budaya dan sikap pendengar itu.

Untuk memahami bunyi bahasa, seseorang itu perlu mempunyai unsur-unsur kefahaman seperti pengetahuan sedia ada pada pendengar, seperti fakta dan budaya bahasa yang didengar serta bagaimana bahasa digunakan. Sejurus itu adalah pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar dan pengetahuan tentang sistem bahasa.

Apabila ketiga-tiga unsur ini ada, maka seseorang itu akan memahami unsur bahasa yang didengar dengan lebih senang. Proses mendengar adalah suatu aktiviti yang aktif. Si pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Selain itu pendengar juga memilih dan menyimpan apa yan difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah suatu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.

Implikasi kurangnya perhatian pada kecakapan mendengar secara efektif adalah fakta bahawa menjadi pembicara yang efektif sudah seringkali kita dengar, namun latihan untuk mendengar yang efektif rasanya jarang kita temui. Padahal kecekapan mendengar sangatlah penting. Orang bijak mengatakan kita dikurniakan oleh Tuhan dengan dua telinga untuk lebih banyak mendengar dan hanya satu mulut untuk lebih sedikit berbicara.

2.1.3 Aspek-Aspek Penting Dalam Kemahiran Mendengar

2.1.3.1 Konsep-konsep Penting dalam Pendengaran.

Pendengaran boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara iaitu pendengaran merupakan gabungan segala yang didengari, difahami dan diingati. Pedengaran berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat. Individu lebih banyak mendengar melalui pengalaman daripada melalui kecerdasan otaknya.

Aspek fizikal, psikologi dan neurologi mempengaruhi proses pendengaran Pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan.
Juga , pendengaran harus berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan.

Pendengaran untuk mengkritik memerlukan pendengaran yang berpusatkan idea utama, hujah dan bukti. Pendengaran untuk tujuan hiburan melibatkan tindak balas positif terhadap muzik, kesusasteraan, drama dan lain-lain bahan kreatif. Pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.

2.1.4 Proses Mendengar

Proses mendengar sesuatu yang didengar melibatkan organ telinga untuk mendengar sesuatu bunyi. Proses mendengar ini juga biasanya berlaku dalam empat peringkat iaitu yang pertama, mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa, kemudian memahami bunyi-bunyi tersebut, menilai bunyi-bunyi tersebut dan yang keempat bertindak terhadap bunyi-bunyi tadi

Kita sedia maklum organ pendengaran manusia terdiri daripada dedaun telinga, gegendang telinga, bendalir, alat-alat deria telinga tengah dan telinga dalam. Organ yang sensitif dan kompleks ini menangkap dan menafsir pelbagai bentuk bunyi sehingga membolehkan kita mendengar sesuatu bunyi.

Pendengaran adalah satu unsur komunikasi dan tanpa seseorang pendengar sesuatu komunikasi lisan tidak akan lengkap. Penutur yang merupakan punca sesuatu komunikasi akan menubuhkan kod-kod tertentu bagi mesej yang hendak disampaikan itu di dalam otaknya (encode). Kemudian menerusi alat pertuturannya, kod-kod tersebut akan disampaikan sebagai bunyi bahasa. Bunyi tersebut akan diterima sebagai gelombang bunyi yang menggentarkan gegendang telinga pendengar dan di situ bermulalah satu getaran yang berakhir di bahagian telinga dalam pendengar.

Sehingga kini proses pendengaran yang berlaku hanyalah bersifat fisiologikal. Pendengaran dengan kefahaman belum berlaku sehingga mesej yang diterima itu dianalisis dan ditafsir oleh otak. Sebenarnya rangsangan bunyi tersebut sampai ke bahagian otak dan saraf tunjang secepat kilat, sebagai satu desakan saraf yang bertindak sebagai elektrokimia. Di bahagian otak, rangsangan bunyi itu mula diterima sebagai bunyi berasingan ataupun sebagai satu kumpulan bunyi yang mesti ditempatkan di dalam satu konteks tertentu. Kemudian barulah ia dikenali sebagai simbol perkataan yang bermakna dalam sesuatu bahasa.

Seterusnya bahagian otak pendengar akan memadankan bunyi perkataan tadi dengan pengalaman dan kumpulan makna yang telah sedia ada di dalam otaknya, kemudian barulah pendengar dapat menjangka maksud sebenar bunyi bahasa yang didengarnya. Secara sedar atau tidak ia telah menilai bunyi tersebut berdasarkan sikap, nilai dan kepercayaannya sebelum memberi reaksi terhadap mesej penutur tadi. Segala pengalaman dan maklumat yang diterima akan disimpan di dalam otak dan dalam keadaan tertentu ia dapat diingat kembali.

Daripada model pendengaran tadi, kita dapat melakukan beberapa kesimpulan bahawa makna atau maksud sesuatu ujaran itu didapati oleh seseorang pendengar berdasarkan tanggapan, pengetahuan, pengalaman dan penghargaan sendiri tentang perkataan itu, tidak semestinya sama dengan maksud yang hendak disampaikan oleh penutur. Ketepatan maksud yang ditanggap oleh pendengar bergantung kepada beberapa faktor lain seperti tahap kemesraannya dengan penutur, suasana sekeliling, bahan pertuturan, kesediaan mendengar, penumpuan dan motivasinya.Perhatian, penerimaan dan persepsi pendengar merupakan kemahiran yang boleh dilatih dan dikuasai.

Kebiasaan dan tatatertib komunikasi merupakan beberapa perlakuan tertentu daripada penutur dan pendengar supaya perhubungan itu dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Kebiasaan mendengar yang buruk boleh merosakkan persefahaman, tetapi ini dapat diperbaiki dengan kesedaran dan latihan.

2.1.5 Jenis - Jenis Kemahiran Mendengar

Terdapat dua jenis kemahiran meendengar. Yang pertama adalah mendengar secara aktif. Mendengar secara aktif ini dikenali juga sebagai mendengar secara interaktif. Mendengar secara aktif melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penutur dan pendengar. Masing-masing berperanan secara aktif semasa sesi perbualan tersebut.

Semasa aktiviti mendengar aktif, seseorang itu boleh mencelah dengan mengemukakan soalan tambahan bagi mencari penjelasan, pengulangan ataupun mengucapkan semula. Jadi, pelajar tidaklah merasa tidak dilibatkan semasa perbualan di dalam kelas. Mereka berpeluang mempraktikkan mendengar secara interaktif melalui perbualan dalam kelas biasa yang dapat membantu penguasaan kemahiran itu.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar, masa yang sedikit diperuntukkan tidak dapat membantu pelajar secara maksimum penguasaan kemahiran itu. Pelajar tidak berpeluang menjadi pendengar yang baik. Hal ini disebabkan guru lebih banyak meperuntukkan isi pengajarannya bagi menyediakan pelajar dengan keperluan penguasaan kemahiran yang berkaitan dengan peperiksaan. Penekanan ini juga menjadikan pelajar diabaikan dalam aspek kemahiran mendengar. Penguasaan untuk menguasai kemahiran mendengar secara efektif yang terbatas boleh mengakibatkan pelajar tersebut gagal dalam mengaplikasikan kemahiran mendengar tersebut dalam kehidupan seharian

Dari segi kenyataan, aktiviti mendengar wujud dalam situasi yang berbeza dengan penutur yang berbeza. Fikirkan semua individu berbeza yang sudah bertutur dalam jangka masa 24 jam dengan kita. Anda sebenarnya mendengar beberapa individu bertutur dengan cara yang berbeza. Berdasarkan kepelbagaian pengalaman dalam aktiviti mendengar, pelajar sebenarnya memerlukan latihan tambahan untuk menyediakan diri sebagai pendengar yang baik.

Pendengaran secara aktif juga merupakan suatu kemahiran dan seperti kemahiran yang lain, latihan dan amalan adalah penting. Kita boleh mempelajarinya untuk berbuatnya secara baik serta berkesan. Tambahan pula, kita boleh menambahbaikkannya sepanjang hayat kita.

Pendengaran aktif adalah penting untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita. Kita perlu mengubah tabiat buruk pendengaran kita dan menjadi sebagai seorang pendengar aktif yang baik. Anda menjadi pendengar aktif apabila anda membuat suatu ringkasan atau rumusan mengenai hujah atau alasan penting yang dikemukakan oleh seseorang, menilainya dan menanya soalan bagi mendapat penjelasan mengenai apa yang diutarakan oleh seorang penutur. Tumpuan perhatian kepada minat ,kebimbangan atau kerisauan, bunyi bising, gangguan dan rupa serta perawakan penceramah menjadi halangan kepada pendengaran yang berkesan atau aktif.

Dalam mewujudkan kemahiran berkomunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi pelbagai cara dan kaedah boleh digunakan. Untuk menjadi pendengar yang baik, kita perlu menghayati apa yang diperkatakan. Menghayati memerlukan perhatian, penganalisisan dan mengingati setiap stimulasi yang didengar. Kedua-dua aspek ini penting untuk membolehkan seseorang menjadi pendengar yang aktif. Mendengar tanpa menghayati adalah perkara yang sia-sia sahaja.

Sebagai panduan, adalah wajar seseorang itu mendengar dengan aktif dan serius tentang apa yang diperkatakan dari segi Intensif, empati membina kemahiran mendengar yang efektif, membina kemahiran bertindak balas. Berikut merupakan kemahiran mendengar :

a) Intensif


Seseorang pendengar yang aktif akan memberi penumpuan secara intensif kepada apa yang diperkatakan oleh penutur dan pada masa yang sama mampu menganalisis beribu jenis maklumat.

Sebenarnya otak manusia dikatakan mampu menerima kadar pertuturan sekurang-kurangnya empat kali dari kelajuan purata pertuturan seseorang penutur. Proses ini memberi peluang kepada minda untuk berfikir semasa mendengar.Otak manusia juga dapat meringkaskan dan mengintegrasikan apa yang diperkatakan ketika proses mendengar sedang berlaku.

b) Empati


Empati memerlukan pendengar menganggap diri mereka sebagai penutur. Pendengar yang aktif sedia untuk menerima di samping meninjau lebih jauh apa yang disampaikan oleh penutur. Cabaran kepada seseorang pendengar yang aktif ialah menerima dan menganalisis apa yang diperkatakan dan menyimpan segala pertikaian yang timbul dlam hatinya sehinggalah penutur selesai bercakap. Pendengar juga perlu mempunyai kesanggupan untuk menerima masalah yang dihadapi di samping bersedia emberi buah fikiran dari kacamata pendengar dan penutur.

c) Membina kemahiran mendengar yang efektif

Terdapat beberapa ciri penting untuk membina kemahiran mendengar yang efektif. Antaranya ialah dengan mengadakan interaksi secara berhadapan.
Selain itu, individu perlu mengelakkan dari melakukan halangan dari segi gerakan badan. Tanda pemahaman atau persetujuan seperti anggukan kepala, perubahan air muka dan sebagainya juga peerlu ditunjukkan Juga, individu perlu mengutarakan soalan yang berkaitan dengan ikhlas.

Elakkan diri dari mencelah kata-kata penceramah jika tidak perlu.Juga, individu tidak keterlaluan ketika berbicara sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pendengar. Aliran maklumat yang sempurna antara penutur dan pendengar perlu diwujudkan.

d) Membina kemahiran bertindak balas

Tindak balas yang diperlukan dalam kemahiran mendengar ialah tindak balas yang positif bukannya tindak balas yang negatif. Untuk membina kemahiran tindak balas yang positif seseorang itu perlulah menumpukan kepada gelagat tertentu dan bukannya secara umum. Contohnya memberi pujian serta- merta terhadap kerja yang baik oleh subordinat serta memberi alasan mengapa dia perlu mendapat pujian. Jika dia membuat kesalahan, maka perlulah ditegur dengan baik dan ikhlas supaya dapat diperbaiki .

Selain itu, menjadikan tindak balas tersebut sesuatu yang tidak formal dengan tidak mengkritik orang lain secara individu atas sesuatu kegagalan yang berlaku kerana ini akan menyentuh emosi seseorang. Sebaliknya perlu ditegur dengan teguran yang membina dan dapat diterima oleh penutur. Hal ini juga dikatakan tindak balas yang positif dalam kemahiran mendengar.

Untuk membina kemahiran bertindak balas secara positif, seseorang itu perlu menjadikan tindak balas tersebut bertepatan dengan masa supaya tindak balas tersebut lebih rasional dan praktik. Hal ini juga adalah untuk tindak balas tersebut mudah difahami dan diterima oleh semua pendengar.

Jenis yang kedua adalah mendengar secara pasif. Mendengar secara pasif tidak melibatkan tindak balas secara langsung oleh pendengar. Seringkali juga wujud situasi mendengar secara pasif ini dalam kalangan pelajar semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pelajar yang mendengar semasa guru sedang mengajar tidak berpeluang memberikan respons secara verbal terhadap mesej yang didengar.
Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan suasana berkomunikasi yang baik, pendengar perlu bersedia dengan situasi itu. Hal ini terjadi di mana pendengar tidak boleh mencelah dengan mengemukakan soalan ataupun ingin mendapatkan penjelasan yang terperinci dari penyampai.

Mendengar jenis ini dipanggil juga sebagai mendengar secara tidak interaktif. Secara ringkasnya, pendengar tidak berupaya mengambil bahagian dalam mewujudkan hubungan dua hala seperli mendengar kuliah, radio, menonton televisyen, filem ataupun siaran langsung.

2.1.6 Peringkat - Peringkat Kemahiran Mendengar

Terdapat 3 peringkat kemahiran mendengar. Pada peringkat awal kemahiran mendengar, pelajar akan diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh pelajarnya menggayakan gaya seekor kucing, maka pelajar tersebut akan bertindak balas dengan menggayakan aksi seekor kucing mengikut kekreatifan masing-masing. Selain itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan yang mudah. Para pelajar juga dapat mengingat dan memadankan perkataan dan ayat-ayat mudah dengan tepat.

Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, pelajar didedahkan untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan terperinci. Pelajar juga diajar untuk mengenal informasi-informasi spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu pelajar tentang sebuah kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar serta pelajar dapat mengetahui cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu. Pada peringkat ini juga, pelajar didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat sesuatu tindakan yang dibuat. Selain itu, pelajar ini akan diajar untuk mengenal perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang bercakap. Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik dengan sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah untuk mengelakkan pelajar tersebut menjaga perasaan penyampai serta ilmu dan maklumat yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar terbabit.

Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, pelajar dilatih untuk mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut. Pelajar akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap.
Selain daripada itu, pelajar akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang bercakap. Pelajar tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat, pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi yang betul dalam soalan tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau kawan-kawan.

Pada peringkat ini juga, pelajar akan dididik untuk mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.

2.1.7 Bentuk - Bentuk Kemahiran Mendengar

Menurut Kamarudin Haji Husin di dalam buku ‘Ilmu Bahasa dan Kecekapan Berbahasa’ menyatakan bahawa kemahiran mendengar boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Biasanya ia boleh dibahagikan kepada sembilan kategori. Antaranya adalah mendengar Secara pasif.

Mendengar secara pasif adalah peringkat kemahiran mendengar yang paling rendah. Pada peringkat ini pendengar biasanya tidak berupaya memahami makna keseluruhan yang diucapkan dalam sesuatu pertuturan atau percakapan yang didengarinya. Pendengar juga kurang memahami dan mengingati serta menyebutkan semula perkataan yang didengar itu.

Banyak perkara yang dapat mendorong kanak-kanak mendengar secara pasif. Antaranya adalah mungkin bahan yang diperdengar itu kurang menarik minat mereka atau mungkin kerana bahan itu terlalu sukar untuk difahami dan tidak bermakna kepada mereka. Kanak-kanak yang tidak dapat menguasai kemahiran mendengar dalam sesuatu bahasa tentu tidak dapat memahami sepenuhnya pertuturan bahasa tersebut. Keadaan menjadi lebih buruk lagi jika mereka diganggu oleh pengaruh bahasa ibunda, dialek, terhadnya perbendaharaan kata atau sebagainya.

Yang kedua adalah mendengar Secara Bertelau-telau. Mendengar secara bertelau-telau ini biasanya berlaku dalam kalangan pelajar bahasa kedua atau mereka yang mempelajari bahasa asing. Kemahiran ini lebih tinggi tarafnya berbanding dengan kemahiran mendengar secara pasif. Dalam kemahiran ini, pendengar biasanya kurang mampu mendengar bahagian-bahagian ujaran tertentu dalam sesuatu pertuturan. Mereka tidak berjaya untuk membentuk konsep dan gagal memahami ujaran yang diperdengarkan kepada mereka itu.

Keadaan ini biasanya berlaku kerana pelajar tersebut masih lemah dalam bahasa yang dipelajari. Mereka kurang didedahkan dengan suasana berbahasa dalam bahasa tersebut serta kurang biasa mendengar dan bertutur serta berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Seterusnya adalah mendengar tanpa tindak balas.Mendengar tanpa tindak balas bermaksud pelajar-pelajar mendengar tetapi tidak membuat sebarang tindakan selepas itu. Hal ini berlaku kerana pendengar tidak peka terhadap kata-kata yang diucapkan itu. Mungkin pendengar tidak memahami sepenuhnya hubungan makna antara perkataan yang diucapkan dalam ayat. Dengan kata lain, mereka tidak memberi sebarang reaksi sama ada marah, sedih, gembira, simpati dan sebagainya.

Juga adalah mendengar secara menebuk-nebuk. Hal ini berlaku dalam kalangan pelajar bahasa pertama. Pelajar hanya menebuk-nebuk perkataan atau rangkai kata yang didengar dan mengambilnya untuk tujuan tertentu. Pada peringkat ini kemahiran mendengar pelajar yang menuturkan bahasa itu masih rendah.

Kemahiran mendengar yang menebuk-nebuk ini juga berlaku dalam kalangan pelajar bahasa ibunda. Hal ini kerana mereka sudah pasti yang mereka berupaya memahami dan mampu menggunakan bahasa sendiri. Walhal, kadar kefahaman mereka terhadap bahasa itu adalah pada peringkat yang masih lemah.

Seterusnya adalah mendengar dengan beremosi. Pada peringkat ini, pendengar sudah mula mempunyai kemahiran dalam bahasa yang dituturkannya. Pendengar sudah dapat merasakan sesuatu sehingga memberangsangkan emosinya. Mereka sudah mula mendengar, memahami dan bertindak terhadap ujaran yang didengarinya itu.

Walau bagaimanapun, implikasi daripada keadaan emosi yang marah itu mungkin menyebabkan orang-orang yang terlibat akan bertindak positif, iaitu dengan meningkatkan tekad untuk bekerja keras dan berjaya dalam hidup mereka. Namun, ada kemungkinan juga akan berlaku tindak balas negatif seperti berlakunya pergaduhan, pertengkaran dan sebagainya.

Mendengar secara beremosi ini berlaku kerana perkataan yang dilafazkan membawa makna yang berbeza-beza. Kemungkinan orang yang menuturkannya tidak tahu atau faham adat resam, tradisi dan budaya orang yang mendengarnya. Perkataan yang dilafazkan secara tidak berhati-hati dan tidak mengambil kira lingkungan geografis dan budaya boleh menimbulkan salah faham apabila pendengar tersilap membuat tafsiran.

Juga adalah mendengar secara berhati-hati. Mendengar pada peringkat ini memerlukan seseorang itu mendengar dengan teliti dan secara bersungguh-sungguh. Dia harus menumpukan pendengarannya terhadap kata demi kata, rangkai kata demi rangkai kata dan ayat demi ayat dalam sesuatu pengucapan itu. Tujuan mendengar setiap ujaran yang dilafazkan dengan teliti adalah untuk menentukan supaya setiap butiran yang dituturkan dapat difahami dengan tepat dan betul.

Kemahiran mendengar secara berhati-hati ini boleh dicapai dengan memberikan banyak latihan mendengar kepada pelajar. Mereka dilatih untuk mempelajari bahasa lisan secara formal lebih berkesan daripada pembelajaran yang dilakukan secara tidak formal.

Seterusnya adalah mendengar Secara kritikal. Mendengar secara kritikal biasanya berlaku setelah seseorang itu dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan baik. Pada peringkat ini kemahiran mendengar telah mencapai tahap yang tinggi.

Pendengar bukan sahaja dapat memahami sesuatu pertuturan dengan baik, bahkan berupaya memilih dan menentukan perkara-perkara yang benar dan yang palsu. Seseorang dapat menentukan kesahihan sesuatu faktor yang didengarnya dan menyedari akan sesuatu kelemahan yang terdapat dalam pertuturan dan sebagainya.

Mendengar secara kritikal memerlukan seseorang itu berfikir secara kritis dan analitis. Untuk mencapai ke peringkat ini, pelajar harus diberi latihan mendengar dan berfikir secara intensif. Kemahiran ini boleh dilakukan melalui proses pembelajaran secara tidak sengaja.

Juga adalah mendengar dengan pengamatan. Kemahiran mendengar jenis ini biasanya berlaku dalam kalangan pelajar yang sudah boleh berfikir secara kritikal. Mendengar cara ini akan lebih bermakna apabila proses mendengar itu berdasarkan kepada pengalaman pendengar. Hal ini bermakna, pendengar akan lebih mudah memahami sesuatu ujaran yang dilafazkan apabila ujaran-ujaran itu ada pertalian dengan pengalamannya.

Yang seterusnya adalah mendengar secara kreatif. Kemahiran mendengar secara kreatif ini pula merupakan kemahiran yang paling tinggi dan ia menjadi matlamat pengajaran dan pembelajaran lisan di peringkat mendengar. Pada peringkat ini, pendengar akan menggunakan daya kreatifnya untuk mencipta sesuatu setelah dia dapat mendengar dengan baik sesuatu pertuturan itu. Hal ini bermakna dia dapat memahami ujaran-ujaran yang dikemukakan kepadanya dengan baik.

Seseorang itu juga dapat membuat tafsiran, mengkritik, menganalisis, membuat ulasan dan komen yang bernas dan jitu. Biasanya pelajar yang mampu mendengar secara kreatif adalah yang terdiri daripada mereka yang boleh berfikir dengan baik, cekap dan bijak. Mereka itu telah mempelajari dan menguasai bahasa yang hendak digunakan itu dengan baik.

2.8 Faktor- Faktor Mempengaruhi Kemahiran Mendengar

Salah satu faktor yang mempengaruhi kemahiran mendengar adalah faktor fizikal. Kanak-kanak normal mempunyai pendengaran yang semula jadi sejak dilahirkan. Peringkat kemahiran ini berbeza antara seseorang ada yang mempunyai pendengaran tajam dan ada yang sebaliknya walaupun mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.

Faktor yang seterusnya adalah jantina. Terdapat perbezaan kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki dan perempuan. Apabila kanak-kanak lelaki berumur 7 hingga 9 tahun, mereka kurang kefahaman tentang kemahiran mendengar berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya dengan mereka.

Yang ketiga adalah status ekonomi. Latar belakang keluarga seperti kemudahan rumah, pengaruh ahli keluarga serta interaksi antara ahli keluarga boleh mempengaruhi kemahiran mendengar kana-kanak. Kanak-kanak yang terganggu emosinya tidak akan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang didengar.

Juga adalah gangguan bunyi. Semasa mendengar, terdapat banyak gangguan seperti persekitaran dan bunyi bising. Ini mempengaruhi pengamatan dan kemahiran mendengar seseorang itu.

Yang terakhir adalah mental. Kemahiran mendengar ini berkait rapat dengan daya pemikiran seseorang kerana sesuatu yang didengar melalui deria telinga akan melalui proses mental untuk bertindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak akan mempengaruhi kecekapan mereka mendengar.

8 comments:

Asy Faro said...
This comment has been removed by the author.
Anis said...

hebatttttt

Unknown said...

mohon untuk copy and share.

Badin said...

Terima kasih atas perkongsian ini. Tahniah

Unknown said...

mohon guna ilmu ini.terima kasih

Umi said...

Lebih mantap jika tuan boleh menerangkan unsur2 yg boleh diterapkan dlm kemahiran mendengar..tmkasih perkongsian ilmu

cikgu saleh said...

mantop kupasannya. mohon guna utk anak murid saya

FLORA NORHALIZA SAMSON said...

apakah kepentingan mendengar secara efektif dalam kehidupan dan beserta contohnya?

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Car Price in India