PERMUAFAKATAN KOMUNITI DAN SEKOLAH

Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat. Dengan kata lain, sekolah merupakan salah sebuah komuniti dalam masyarakat. Maka, perhubungan sekolah dengan komuniti boleh diibaratkan bagai isi dengan kuku, mereka saling berinteraksi dan saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Oleh sebab komuniti merupakan sebuah masyarakat kecil, jadi sekolah juga diertikan sebagai masyarakat kecil kerana sekolah merupakan sebahagian daripada masyarakat di mana semua anggota hidup bersama dalam kawasan sekolah, mengikut peraturan-pertauran dan cara-cara yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Bukan itu sahaja, sekolah juga berkonsepkan sebagai suatu sistem sosial iaitu salah satu institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-anggota masyarakat supaya membolehkan mereka menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk kemajuan dan perkembangan diri dan masyarakatnya.

Hari ini, sekolah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan positif ke atas pelajar. Oleh itu, sekolah merupakan pengaruh yang utama sebagai satu aspek alam sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya. Seperti yang sedia maklum, kebudayaan masyarakat sentiasa mengalami perubahan. Justeru itu, pendidikan sekolah tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja malah ia perlu menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima proses pembaharuan. Oleh itu, sekolah juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan selari dengan keperluan-keperluan yang telah dinyatakan dalam Matlamat Pendidikan Negara.

Selain itu, kerjasama di antara sekolah-sekolah adalah lebih diutamakan untuk memupuk kesefahaman dan perpaduan di antara anggota-anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum. Maka, di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti kurikulum dan kokurikulum di antara sekolah-sekolah daerah, negeri dan negara, konsep sekolah wawasan pula diperkenalkan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, pada bulan Disember 1995 bertujuan memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama dalam sesuatu kawasan yang sama demi memupuk dengan lebih awal lagi perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat berbilang kaum.

Sekolah melahirkan pelajar-pelajar atau generasi yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia. Generasi-generasi yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat bernilai untuk perkembangan dan kemajuan masyarakat dan negara. Kerjasama di antara sekolah dan masyarakat adalah penting untuk membawa sekolah dan masyarakat bersama-sama menuju ke arah kejayaan dan kegemilangan. Jika kedua-dua aset ini tidak saling berinteraksi sudah pasti remaja yang berilmu pengetahuan tidak akan terhasil. Oleh sebab itu, dalam pelaksanaan “Satu Malaysia” remaja dijadikan sebagai aset negara yang utama. Merekalah yang akan menentukan masa hadapan negara.

Untuk itu, mereka perlu berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Remaja yang berilmu dan bijaksana juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan menyumbang kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan negara. Dalam merealisasikan “ Satu Malaysia” remaja seharusnya menghayati falsafah muhibah dan kerukunan serta keharmonian antara kaum.

Justeru itu, untuk menjayakan semua ini segalanya harus bermula di sekolah dan kerjasama sekolah itu sendiri dengan komuniti amat penting kerana hubungan kedua-duanya boleh diibaratkan bagai aur dengan tebing.

1 comments:

jjalutt_uit said...

terima kasih

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Car Price in India