PEDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN INSAN

Matlamat pendidikan dan reformasi pendidikan di negara Malaysia dari semasa ke semasa adalah usaha memperkembang insan seimbang serta membangunkan sumber manusia untuk kemajuan negara. Hal ini, dicerminkan melalui Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020. Wawasan 2020 merupakan wawasan yang sangat mencabar bagi rakyat Malaysia terutamanya golongan pelajar. Wawasan 2020 meletakkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dalam semua aspek dan dimensi ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi dan budaya.


Menjelang tahun 2020, Malaysia menjadi sebuah negara yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia yang mempunyai rasa keyakinan diri, ditunjangi untuk nilai-nilai moral dan etika yang utuh, menikmati kehidupan dalam sebuah masyarakat yang demokratis, liberal lagi bertolak ansur, berbudi, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, tangkas serta mempunyai daya ketahanan yang jitu.

Sehubungan itu, perubahan kurikulum sekolah rendah dan menengah hendaklah berlandaskan dan selaras dengan cita dan tujuan FPK untuk mencapai matlamat dan aspirasi wawasan 2020 iaitu memperkembang insan seimbang dan membangunkan sumber manusia untuk kemajuan negara yang meliputi perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan kepada program bersepadu, perubahan bahan-bahan pelajaran yang mengutamakan nilai-nilai murni yang diserapkan dalam semua mata pelajaran, perubahan program pendidikan yang berorientasikan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis, sistem pendidikan yang berorientasikan ke arah pendidikan umum dan perubahan sukatan pelajaran yang sesuai untuk membangunkan sumber manusia dengan melatih kemahiran pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Inovasi kurikulum atau reformasi pendidikan dilancarkan atas beberapa faktor yang meliputi hak rakyat dan pencapaian untuk kemajuan negara. Keperluan masyarakat dan negara, misalnya melatih lebih banyak tenaga mahir dalam bidang vokasional untuk perkembangan perindustrian dan ekonomi negara. Selain itu, perkembangan perindustrian dan teknologi yang mendorong negara menreformasi kurikulum dengan memberi tumpuan kepada sains dan matematik. Seterusnya, perkembangan falsafah, psikologi dan teori pendidikan yang menjadikan pendidikan di sekolah lebih baik dan sempurna. Justeru itu, konsep “Satu Malaysia” yang diperkenalkan amat bertepatan dengan apa yang dibincangkan.

Dalam konteks ini, pelbagai usaha telah dilakukan dalam pendidikan bagi kepentingan rakyat serta pencapaian yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam setiap aspek. Salah satu formula “Satu Malaysia” iaitu nilai aspirasi yang menitikberatkan budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab serta keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang baru selari dengan pendidikan hari ini.

Keadaan ini jelas menunjukkan hubungkait antara matlamat pendidikan negara dengan slogan “Satu Malaysia” dalam membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia. Jika pendidikan sahaja yang diutamakan tetapi pembangunan insan dipandang enteng oleh segolongan masyarakat, hasrat ini sudah tentu tidak akan terlaksana.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Car Price in India