Suatu contoh situasi yang mencabar dan cadangan strategi-strategi mengurus emosi berdasarkan situasi tersebut.

Dalam melalui kehidupan ini, banyak situasi-situasi yang mencabar yang akan kita lalui. Saya juga pernah mengalami situasi yang mencabar minda dan emosi saya. Tidak ramai orang yang berani berhadapan dengan reptilia menjalar seperti ular. Saya adalah salah seorang daripadanya. Pengalaman saya terserempak dengan ular tedung ketika pulang dari sekolah sewaktu bersekolah rendah dahulu amat mencemaskan dan mendebarkan.

Kejadian tersebut berlaku ketika saya dan adik saya mengayuh basikal untuk pulang ke rumah setelah pulang dari sekolah. Kami di hantar oleh bas ke hadapan lorong rumah dan terpaksa mengayuh basikal untuk sampai kerumah kerana bas sekolah tersebut tidak memasuki lorong untuk kerumah kami. Sedang saya dan adik mengayuh basikal, tiba-tiba kami terpandang sesuatu yang panjang seperti tali dan berkilat berwarna hitam di atas jalan raya. Semakin dekat kami dengan objek tersebut semakin kuat perasaan ingin tahu muncul.

Apabila jarak kami dengan objek itu hanya lebih kurang dua meter sahaja, kami secara serentak berhenti dari mengayuh basikal. Masing-masing saling berpandangan sesama sendiri dengan muka cemas. Dihadapan kami, ada seekor ular tedung yang mengembangkan kepalanya sedang memandang ke arah kami berdua. Ular tedung yang ingin melintas jalanraya itu mungkin berasa terkejut dan terancam dengan kehadiran kami disitu.

6.2 Strategi :

Mengambil langkah berjaga-jaga apabila berasa tidak senang dan ragu-ragu. Saya memperlahankan kayuhan basikal apabila jarak semakin dekat dengan objek hitam tersebut.

Tidak mudah terkejut ataupun melatah dengan situasi yang tidak diingini. Saya dan adik tidak menjerit ketika terpandangkan ular tedung itu. Kami hanya berpandangan sesama sendiri sambil berfikir. Walaupun dalam keadaan cemas dan takut, kami tidak menjerit.

Berfikir secara rasional dengan pantas. Saya menunjukkan isyarat senyap dan meminimumkan pergerakan badan apabila mengetahui bahawa terdapat seekor binatang yang merbahaya dihadapan kami. Adik saya mengangguk tanda memahami isyarat saya. Kami berusaha mengelak daripada membuatkan ular tersebut berasa terancam dengan berdiri kaku ditempat kami berhenti.

Mengawal perasaan dengan baik, tidak menggelabah. Saya tidak menunjukkan muka ketakutan dihadapan adik walaupun saya sendiri berasa takut dan risau. Saya berharap dengan menunjukkan muka tenang, saya dapat menenangkan perasaan adik saya serta memberi dia perasaan selamat dan positif.

Memohon pertolongan daripada Tuhan. Saya berdoa dalam hati agar kami diselamatkan dari segala bahaya. Saya juga berharap agar ular itu tenang dan tidak berasa terancam serta memohon agar ia segera melintas dan beredar dari jalan itu.

6.3 Rumusan :

Akhirnya, setelah beberapa minit, ular tedung tersebut mengecutkan kepalanya dan beredar dari jalan tersebut. Kami selamat dan bersyukur kepada Tuhan kerana telah selamat dari situasi yang merbahayakan. Sekiranya kami tidak dapat berfikir secara rasional serta mengawal emosi dengan baik, kami akan menjerit apabila terpandangkan ular tedung tersebut, dan mungkin ular tedung itu akan berasa terancam. Seterusnya, nyawa kami akan berada dalam bahaya apabila ular tedung itu bertindak untuk menyelamatkan dirinya dengan mematuk kami.

Oleh itu, sebagai kesimpulannya, pengurusan emosi yang baik penting dalam menangani situasi-situasi yang mencabar dalam hidup ini. Setiap individu itu harus berfikir secara rasional dan berusaha untuk mengawal emosinya dengan bijak dan baik.


0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Hot Sonakshi Sinha, Car Price in India